5 TIP KEMBALI YAKIN DAN POSITIF
1. Simpan Matlamat Harian Anda
Setiap hari apabila bangun tidur, kita mestilah mempunyai matlamat apa yang ingin kita lakukan pada hari tersebut. Senarai to-do-list amat membantu. Senarai ini mestilah mempunyai segala perkara yang kita ingin lakukan apabila bangun tidur nanti. Ini akan membantu kita untuk memulakan hari kita dengan yakin dan tenang. Selain itu, dengan setiap tugasan yang berjaya kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak, kita telah meningkatkan lagi keyakinan diri kita. Senaraikan matlamat yang mampu dicapai sahaja dalam sesuatu masa! Jangan gelojoh, takut nanti kita tidak mampu untuk mengejarnya.
2. Bergaul Dengan Rakan Yang Lain
Jangan jadi kera sumbang! Sebagai pelajar, ada antara kita yang tidak suka bercampur dengan rakan pelajar yang lain dan hanya membuat hal sendiri. Ini bukan sahaja akan membuat kita tidak disenangi, malah boleh menjatuhkan keyakinan diri lebih-lebih lagi ketika kamu berhadapan dengan orang lain. Dengan bergaul bersama masyarakat dan rakan-rakan, kita boleh meningkatkan sosial skil kita dan cara kita berinteraksi dengan orang lain.
3. Dapatkan Hobi Atau Pelajari Skil Baru
Apabila kita mempunyai hobi atau mempelajari skil baru, tentu sekali kita akan berasa seronok atau teruja. Perasaan ini dapat memberikan kita keyakinan diri, tambahan pula apabila kita dapat berinteraksi dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama!
4. Membaca Dan Menuntut Ilmu
Tip ini dapat memberikan kita keyakinan apabila kita bercakap. Banyakkan membaca bagi membolehkan kita bercakap dengan pelbagai latar belakang orang yang yang mempunyaipelbagai kepakaran. Dengan banyak membaca juga, kita memperoleh "modal" dalam memulakan perbualan ataupun berbicara dengan seseorang yang tidak kita kenali. Tip ini sesuai bagi sesiapa yang ingin berpidato!
5. Bersenam Dan Mengamalkan Hidup Sihat
Sama ada kita percaya atau tidak, bersenam dapat memberikan keyakinan pada diri, bukan sahaja dari segi penampilan, malah secara dalaman. Tahukah anda ? Apabila kita bersenam, kita kan mengeluarkan hormon testosteron dan endorphin yang membuatkan kita rasa hebat dan berada di dalam keadaan positif. Tambahan pula, bukankah senaman dapat menyihatkan tubuh badan dan memberikan kita tenaga dalam melakukan aktiviti seharian ?
Sumber : Majalah Remaja , Edisi 15 Sept 2011








