1. Fokus pada bab yang penting
Belajar saat akhir memang stress, dan bagi mengurangkan rasa stress ini kita boleh memberikan tumpuan yang lebih pada bab yang kita rasakan sangat berat dan sukar kita ikuti. Fokus pada isi-isi penting dan buat semula kertas-kertas soalan tahun-tahun sebelumnya.
2. Hapuskan tabiat suka tidur!
Kebanyakkan pelajar suka mengisi masa lapang dengan tidur. Walaupun masa tidur merupakan masa rehat yang paling baik, pastikan kita tidak terlebih tidur. Bagi mengelakkan perkara ini, kita mestilah menyediakan jadual masa tidur yang lebih teratur. Kalau ada jam loceng juga bagus supaya kita kita akan terjaga pada waktu yang telah kita tetapkan.
3. Rehat yang secukupnya
Jangan asyik belajar pula, badan kita juga memerlukan rehat yang secukupnya kerana otak kita tidak bolaeh bekerja dalam masa 24 jam. Ambil sedikit masa bagi merehatkan diri dengan menghirup udara di luar bilik atau rumah, mendengar radio ataupun menonton televisyen. Sekiranya kita sudah rasa lega, barulah kita menyambung semula ulang kaji tersebut.
4. Pengurusan masa itu penting
Sebagai pelajar, kita mestilah tahu pengurusan masa yang konsisten. Mempunyai jadual belajar amat membantu. Senaraikan kesemua mata pelajaran yang kita ambil dan bahagikan sebaik-baiknya masa yang diperlukan untuk sesuatu subjek tersebut.
5. Nota ringkas , peta minda
Tidak sempat rasanya jika kita hendak membaca keseluruhan sesuatu bab bagi sesuatu subjek itu. Jadi, nota ringkas ataupun peta minda amatlah membantu. Nota ringkas atau peta minda ini mestilah padat dengan segala isi-isi yang kita rasa penting. Jangan disebabkan namanya 'nota ringkas' , kita pun buat seringkas yang mungkin. Boleh buat seringkas mungkin, tapi mestilah ada isinya ya!
6. Penggunaan pen berwarna
Buatkan ulang kaji kita lebih menarik dengan menggunakan pen berwarna ataupun 'highlighting pen' berwarna. Gariskan setiap perkara penting dengan warna yang berlainan mengikut kegemaran kita untuk memudahkan mata kita melihatnya. Tip ini bukan sahaja berguna, malah akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk mengulang kaji pelajaran.
7. Tenangkan diri dan jangan panik
Oh tidak! masa sudah terlalu suntuk untuk mengulangkaji pelajaran. Pada ketika ini, kita seperti ingin menjerit sekuat hati dan adakalanya terburu-buru mencari tajuk-tajuk yang belum kita sudahkan. Keadaan ini akan membuatkan kita lebih tertekan dan hilang semua yang telah kita baca sebentar tadi. Jadi, pastikan kamu tidak panik. Seelok-eloknya, bahagikan subjek-subjek itu mengikut tahap dari yang paling sukar kepada yang lebih mudah. Itulah antara tip yang berguna. Tapi, sebaik-baiknya elakkan mengulang kaji saat akhir ya! Bukan apa, mengulang kaji saat akhir akan membuatkan kita berasa tertekan dan tak terurus, lebih-lebih lagi bagi yang akan menghadapi Peperikasaan Akhir Tahun. Bukankah semua bab yang kena baca ?
Sumber : Majalah Remaja , Edisi 15 Sept 2011








